Tanggal 12 Rabiulawal
merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh
dunia. Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun Masehi 2014 jatuh pada
14 Januari 2014 dengan Tema sambutan
"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"
14 Januari 2014 (Selasa) merupakan cuti umum semua rakyat di Malaysia.
MAULIDUR RASUL; KEPERIBADIAN TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI
Pengenalan
Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah
umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat
terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal
pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala
adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk
dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian.
Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia
untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Menghayati Perjuangan Nabi
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut
kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda
dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan
dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi
Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan
silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim
dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.
Keperibadian Terpuji
Masyarakat Arab Quraisy amat senang dengan keperibadian yang
dimiliki oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat
Quraisy, pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat
banjir. Baginda dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang
baik budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin.
Tetapi mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci?
Apakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin
membunuhnya? Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi
Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan
oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin untuk membunuh
nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka.
Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:
"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah )
menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau
membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah
menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan
perancangan jahat".
Ketokohan
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang
tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan
berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi,
sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau
selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah bangun membina
kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang
ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam.
Oleh itu setiap umat Islam adalah bertanggungjawab mempertahankan
agama Allah.
Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka
bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis
dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian,
Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas
agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan
sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah
negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada
umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan
lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah
dilahirkan hingga ke hari ini.
Keadaan Kucar kacir
Keadaan dunia pada masa itu amat tenat dan kucar kacir. Manusia pada ketika itu
telah berperangai kebinatangan. Terlalu banyak kelakuan buruk yang
melingkari masyarakat ketika itu. Bukan sahaja di semenanjung tanah Arab,
bahkan di negara Parsi dan juga Rom. Kehidupan mereka sungguh teruk, meminum
arak menjadi satu kebanggaan. Persundalan dianggap satu keseronokan, amalan
riba' berleluasa dalam perniagaan, hidup berpoya-poya menjadi tanpa haluan.
Kekejaman yang dilakukan dianggap satu keperkasaan. Kekuatan digunakan untuk
menindas. Kekuasaan digunakan untuk mengaut kekayaan. Para penguasa selalu
dimuliakan bahkan kadangkala dianggap sebagai tuhan. Orang awam yang lemah
selalunya di perhambakan. Kepandaian sering digunakan untuk menipu. Setiap saat
akal sentiasa digunakan untuk berbuat jahat dan untuk memenuhi tuntutan nafsu.
Demikianlah gambaran masyarakat ketika baginda diutuskan. Apa yang perlu
dilakukan oleh umat Islam pada masa kini adalah menjadikan Nabi Muhammad
sebagai contoh teladan yang paling sekali.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang).
(al-ahzab 21).
Kesimpulan
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan
mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan
manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam
untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh
sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
JAKIM
Salam Ukhwah,