Adakah anda pernah mengalami,situasi di mana bayi anda sering menangis tidak kira masa?.
Sehingga menimbulkan perasaan yang tidak senang kepada kita terutama jika tangisannya berterusan hingga beberapa jam atau berterusan di waktu jauh malam. Perasaan resah selalu dirasai oleh kerana khuatir kalau – kalau bayi kita menghidap sesuatu penyakit. Menangis ialah satu cara seseorang bayi itu menyatakan perasaan atau emosinya dan kita sebagai ibubapa mestilah cuba memahami sebab – sebab bayi kita menangis supaya langkah yang sewajarnya dapat diambil.
Ada orang yang mengatakan ‘biarlah bayi itu menangis, elok untuk paru – parunya’ atau ‘ biarlah bayi itu menangis, apabila dia letih dia akan berhenti dengan sendirinya’. Anggapan ini adalah tidak benar.
Seseorang ibu perlu mengetahui sebab – sebab bayinya menangis supaya dia lebih senang menghadapi keadaan ini dan memerlukan pertolongan atau nasihat daripada ibunya sendiri, wanita lain yang lebih berpengalaman atau daripada doktornya sendiri. Selalu terdapat bayi-bayi yang kerap menangis dan kurang tenteram jika ibunya berinteraksi dengannya dalam keadaan cemas, resah atau tergesa-gesa.
Berikut adalah 9 sebab bayi menangis.
1. Lapar – Salah satu sebab mengapa bayi menangis. Tangisan lapar selalunya berpanjangan dan iramanya teratur. Jika dibiarkan, tangisan tersebut akan menjadi semakin kuat. Jika bayi menangis begini terutama setelah anda memberinya makan atau menyusuinya kira-kira satu atau dua jam sebelumnya, ini bermakna bayi anda sudah mula haus atau lapar semula.
2. Lampin Basah – Lampin yang terlalu basah atau sudah kotor dengan najis juga akan membuatkan bayi berasa tidak selesa. Dan mereka hanya dapat menyatakan rasa tidak selesa itu melalui tangisan. Tangisannya lebih kurang sama dengan tangisan lapar, namum tidak terlalu kuat. Jika anda cuba memberinya susu dan dia tidak mahu namum masih menangis, periksalah lampinnya kerana ia mungkin penyebab mengapa bayi anda menangis.
3. Kesejukan – Bayi yang baru lahir akan terasa tenang dan selesa apabila dibedung kerana ia membantu memberi kehangatan pada tubuhnya seperti sewaktu di dalam rahim ibunya. Kerana itu apabila anda membuka bajunya, dia mungkin akan menangis sebagai tanda bahawa dia berasa sejuk dan hilang kehangatan yang diperlukan tubuhnya. Tangisannya kedengaran seperti rintihan. Apabila anda telah membedungnya semula, barulah dia mula berhenti menangis.
4. Tidur Dalam Pelukan – Bayi sudah mula mengenal ibunya sejak dari dalam rahim lagi. Dia mula cam akan suara ibunya, bau tubuh ibunya malah degupan jantung si ibu termasuk bau susu badan anda. Kerana itu bayi senang jika setelah disusui. dia tertidur dalam pelukan anda. Jika menangis setelah dimandikan atau disusui, cubalah dukung dalam pelukan anda untuk mendodoikannya.
5. Keletihan – Bayi yang masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya mudah membuat waktu rehatnya terganggu. Kadangkala gangguan di sekelilingnya juga membuat tidurnya kerap terganggu. Ini membuat bayi berasa letih kerana tidak dapat tidur dengan tenang dan menyebabkannya sentasa menangis dan meragam. Cuba hindari gangguan tersebut dan sebaiknya tempatkan bayi dipersekitaran yang tenang agar tidak mengganggu tidurnya.
6. Banyak Gangguan – Bayi yang kecil dan comel memang mudah menjadi perhatian orang disekelilingnya. Selain anda, ahli keluarga yang lain juga pasti mahu turut sama untuk melayan sikecil anda. Sebentar dia didukung oleh orang ini dan sebentar kemudian beralih ke tangan lain pula. Keadaan ini boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa dan terganggu yang akhirnya menyebabkan dia menangis kerana stimulasi yang berlebihan daripada ramai orang yang tidak dikenalinya. Tenangkan si kecil anda dengan membawanya ke tempat yang tenang untuk membataskan gangguan daripada orang lain.
7. Bosan – Bayi menangis bukan semestinya kerana lapar atau lampin yang basah. Tahukah anda, bayi juga boleh berasa bosan dengan rutin dan persekitaran yang sama dilaluinya setiap hari dan menzahirkannya melalui tangisan. Kerana itu tidak salah jika anda sering membawa bayi keluar berjalan. Persekitaran yang penuh dengan warna warni mudah menarik perhatiannya.
8. Sakit – Tangisan sakit berbeza daripada tangisan lapar. Tangisan sakit kedengaran lebih kuat. Bayi menangis dengan keras dan nada tinggi dan adakalanya seperti menahan nafas kerasa rasa sakit yang dirasakannya. Anda sendiri boleh kenal bahawa si kecil anda menangis kerana sedang menahan kesakitannya. Bawa segera berjumpa doktor.
9. Kolik, Kembung Perut – Secara purata, satu daripada lima bayi akan mengalami kolik pada 3 bulan pertama usianya. Ia menyebabkan bayi asyik menangis hingga 3 jam sehari. Mukanya menjadi kemerahan, perutnya terasa tegang dan menangis sambil menarik atau menegangkan kakinya. Ia lebih kurang sama jika bayi masuk angin atau mengalami kembung perut dan menyebabkannya menangis. Menangani keadaan ini memang agak sukar dan memerlukan kesabaran. Cubalah tenangkannya dengan mendodoikannya sambil mengusap lembut badannya atau menepuk-nepuk punggungnya. Anda juga boleh menyapukan minyak telon pada perutnya
Kesimpulannya,para ibu bapa perlulah bersedia dalam menghadapi situasi ini dengan memperbanyakkan ilmu pengetahuan bagi mengatasi permasalahan yang mendatang.
Semoga bermanfaat :)
Salam sayang,